27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Tiga anak terus tuntut Najib diberikan perbicaraan adil

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERJUANGAN menuntut keadilan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap diteruskan bagi memastikan bekas Perdana Menteri itu mendapat perbicaraan yang adil dan diberikan pembelaan sewajarnya.

Perkara tersebut dinyatakan dengan tegas oleh tiga anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohd. Nizar, Datuk Mohd. Nazifuddin serta Nooryana Najwa yang turut mahu bapa mereka ‘dikembalikan’ segera.

Anak sulung Najib, Mohd. Nizar berkata, bekas Presiden UMNO itu tidak mendapat hak sewajarnya apabila dibiarkan tanpa diwakili seorang pun peguam dalam rayuan akhirnya dan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

“Keadaan itu bercanggah dengan hak termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di mana tertuduh sepatutnya diberikan ruang sepenuhnya untuk membela diri, tetapi ia tidak berlaku dalam kes Najib.

“Satu perkara yang amat sedih dalam sejarah Malaysia,” katanya ketika berucap dalam program Demi Najib, We Stand by You di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, malam tadi.

Program tersebut dihoskan oleh Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi.

Antara penyokong yang hadir ke program Demi Najib: We Stand by You yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, malam tadi. – Edisi9/Team Najib Razak

Najib dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International.

Advertisements

Beliau turut berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata, sistem kehakiman negara perlu ditambah baik bagi mengelakkan individu lain yang menerima nasib sama seperti bapanya.

“Saya menyeru dan merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar perbetulkan sistem kehakiman. Kita tidak mahu mangsa-mangsa lain akan didakwa (walaupun) mereka tidak bersalah.

“Ya, tak kisahlah bekas Perdana Menteri ataupun rakyat yang lain, kalau kita tidak betulkan sekarang, ada yang akan jadi mangsa di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nazifuddin berkata, beliau tidak boleh menerima apa yang berlaku ke atas Najib selagi bapanya itu tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

“Kalau kita ada peluang ini, kita nak cakap kepada Kerajaan Perpaduan, lakukan perkara yang betul. Lakukan pembetulan moral),” tegasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan