25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

Ustaz Kazim tidak dibenar sampai kuliah di Pulau Pinang

Mesti Baca

PENDAKWAH Bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mendakwa beliau tidak dibenarkan menyampaikan kuliah di Pulau Pinang.

Menerusi satu video yang dimuat naik, Kazim berkata, kuliah yang sepatutnya diadakan di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil itu terpaksa ditangguhkan.

“Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (semalam),” katanya.

Ucapan berkenaan dipercayai dirakam jemaah menerusi video berdurasi 3.08 saat dan tular di media sosial sejak pagi tadi.

Menerusi video itu, Mohd Kazim berkata, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, beliau menerima keputusan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah, tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah.

“Begitu juga kepada semua pengurusan masjid dan surau yang jemput saya selama 33 tahun menyampaikan ceramah di Pulau Pinang sehinggalah pada bulan empat lalu.

“Semua program bermula malam ini sehingga bila-bila, saya tidak lagi terima sebarang jemputan di Pulau Pinang kerana mematuhi arahan ini,” katanya menerusi video berkenaan.

Advertisements

Mohd Kazim berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Mufti Pulau Pinang atas kerjasama sebelum ini.

“Insya-Allah, mungkin kita dapat ikuti kuliah lagi dalam platform yang lain,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, Jaafar Talib mengesahkan video tular itu dan pihaknya akur dengan keputusan jabatan agama serta penceramah bebas berkenaan.

Jaafar mendakwa, Mohd Kazim terdahulu menerima arahan itu sebelum tampil ke masjid bagi memberi penjelasan berkenaan arahan terbabit.

“Ustaz sudah datang, tetapi tidak dibenar menyampaikan kuliah. Beliau sering dijemput ke masjid ini bagi pengajaran agama selain memberi kuliah dan ceramah.

“Pada mulanya, saya sangka arahan ini adalah bagi masjid ini sahaja, rupa-rupanya untuk seluruh Pulau Pinang.

Beliau juga pernah tidak dibenar mengadakan kuliah atau ceramah di negeri ini pada April lalu,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Mitsubishi Electric: Paulo Josue selamatkan ‘maruah’

PEMAIN naturalisasi, Paulo Josue menjadi penyelamat maruah skuad Harimau Malaya apabila dua jaringannya di separuh masa kedua berjaya membawa...

Lagi Artikel Berkaitan