26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

952 jenis al-Quran lulus untuk dicetak, diedar – LPPPQ

Mesti Baca

BEBERAPA ketetapan berhubung percetakan dan pelupusan al-Quran diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Qur’an (LPPPQ), kelmarin.

Setiausaha Bahagian Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata pihaknya menerusi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Katanya, mesyuarat itu dipengerusikan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadot dengan kehadiran ahlinya terdiri daripada mufti-mufti negeri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja negeri masing-masing.

“Pada mesyuarat itu, LPPPQ membuat beberapa ketetapan termasuk memperaku dan meluluskan enam pruf akhir teks al-Quran.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan al-Quran terkini yang dibenarkan untuk dicetak, diterbit, diimport dan diedar di dalam negara sebanyak 952 jenis,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Yusaimi berkata, antara ketetapan lain adalah pelaporan kejayaan aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan 2023) sehingga September lalu dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM1 juta.

“Mesyurat itu juga meluluskan pemuliaan (pelupusan) terhadap 9,464 teks atau bahan al-Quran dari seluruh negara.

“Pemuliaan ini dilaksanakan terhadap teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN, kesilapan pada ayat, rosak, usang dan sebagainya,” katanya.

Nik Yusaimi berkata berdasarkan pelaporan keberhasilan pelaksanaan ‘Jom Exchange Al-Quran (JEQ)’ di seluruh negara sebanyak 18,371 naskah al-Quran tiada perakuan KDN, lusuh atau rosak berjaya ditukar sehingga September lalu.

Advertisements

“Garis Panduan Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran akan dimurnikan dengan mengambil kira kaedah dan penggunaan teknologi baharu dalam pelbagai bentuk bagi tujuan pemuliaan teks atau bahan kitab suci itu.

“Mesyuarat itu juga memutuskan tindakan penguatkuasaan terhadap teks atau bahan al-Quran mengikut kes,” katanya.

Nik Yusaimi berkata, penterjemahan al-Qur’an yang dibenarkan di Malaysia adalah berpandukan rujukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan mendapat pengesahan panel penyemak dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Semua bentuk teks atau bahan al-Quran yang diterbit, dicetak dan dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan edaran atau jualan perlu melalui semakan Lajnah Tasheh al-Quran KDN serta diperaku oleh LPPPQ terlebih dahulu.

“Kegagalan untuk mendapatkan perakuan akan menyebabkan mana-mana pihak yang terbabit berdepan dengan tindakan penguatkuasaan oleh KDN,” katanya.

Nik Yusaimi berkata, KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti penjualan ataupun pengedaran al-Quran atau bahan al-Quran yang menyalahi akta itu.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu terbabit boleh dihukum sehingga lima tahun penjara dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Pindaan 2023).

“KDN menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau melalui laman sesawang www.moha.gov.my,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan