33.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

Jawatankuasa HARMONI adakan mesyuarat kali pertama

Mesti Baca

JAWATANKUASA Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) mengadakan mesyuarat kali pertama yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 14 Ogos 2020 bagi menggantikan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang diwujudkan pada 2010 dan berakhir pada 31 Dis 2019.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jawatankuasa HARMONI adalah platform penting bagi meningkatkan kefahaman pelbagai agama.

“Ia juga bagi membincangkan isu-isu yang boleh menggugat keharmonian agama dan ketenteraman awam, serta mencadangkan dasar-dasar kepada kerajaan berteraskan nilai agama,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu dianggotai 30 ahli terdiri daripada tiga wakil kerajaan, 10 wakil agama Islam, masing-masing empat wakil agama Buddha dan Kristian, serta masing-masing dua wakil agama Hindu dan Taoisme.

Turut serta masing-masing seorang wakil agama Sikh, agama Baha’i dan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak.

Advertisements

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa HARMONI bermesyuarat dua kali setahun atau mengikut keperluan dengan terma rujukannya adalah memperkukuhkan iklim perhubungan yang baik dan mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama berteraskan semangat hormat-menghormati serta bekerjasama di semua peringkat.

Selain itu, bagi menggalakkan semua penganut agama memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, meningkatkan penghayatan semua penganut agama kepada nilai murni selaras Prinsip Rukun Negara serta mencadangkan program dan aktiviti bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam untuk memperkukuhkan keharmonian negara.

Aaron menyatakan harapan agar Jawatankuasa HARMONI mencapai matlamat penubuhan sebagai tapak untuk merapatkan jurang antara badan-badan agama Islam dan bukan Islam.

Beliau juga berharap jawatankuasa itu dapat berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara serta melaksanakan program memupuk persefahaman dan keharmonian antara ketua-ketua agama dan penganut agama bagi menyokong matlamat membangun Malaysia Madani melalui konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian.

Bagi Mohd Nai’m, beliau yakin jawatankuasa itu adalah platform terbaik bagi semua pihak mengambil pendekatan bijak, tertib dan dengan semangat toleransi tinggi ketika berhadapan isu agama, dalam usaha memastikan keadaan sosial di negara ini sentiasa stabil demi perpaduan dan pada masa sama memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan terus dipelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan peruntuk RM2.3 juta untuk program perpaduan YSS

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bagi pelaksanaan program perpaduan bagi tahun ini. Menteri Perpaduan Negara,...

Lagi Artikel Berkaitan