TAN Sri Shahrir Abd. Samad membidas kenyataan Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming berhubung isu pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Veteran UMNO itu berkata, DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang cerdik tidak mampu menyelamatkan negara sepanjang 22 bulan mentadbir kerajaan persekutuan.
Sebaliknya tegas Shahrir, banyak kerosakan dilakukan oleh orang cerdik DAP kepada negara, kehakiman, sistem kerajaan dan sistem ekonomi negara.
“Pendakwaan terpilih dan penganiayaan politik. Begitu mudah menyalahgunakan kuasa apabila DAP dan pemimpinnya berkuasa.
“Ini hendak bercakap pula pasal pengampunan, patut atau tidak. Kecerdikan pun boleh terhindar oleh prejudis,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Kian Ming ketika menjawab soalan bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya tidak melanggar batasan termasuk pembebasan Najib.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, apabila perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ‘geng’ dibatalkan Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, tidak pula pemimpin DAP yang ‘cerdik’ menyatakan ianya suatu yang luar dari biasa.
Sebaliknya, kata beliau, apabila berpuluh akaun milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) disita tapi akhirnya tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sebenarnya diluar undang-undang, orang cerdik macam Kian Meng tidak berbunyi sepatah pun.
“Apabila perbicaraan Najib jelas disusun bagaikan skrip sandiwara daripada pemilihan hakim, pendakwa raya swasta dan hakim-hakim besar yang dilantik tidak patuh pada undang-undang negara serta penolakan bukti baru dan peguambela baru, kecerdikan itu disimpan dan tidak menyerlah sangat,” tegasnya. – Edisi 9