34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis Johor rampas rokok seludup bernilai RM7. 7 juta

Kira-kira 51,000 karton rokok pelbagai jenama dirampas termasuk Redwood, Bosston dan Paragon.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS merampas 1,029 kotak dipercayai mengandungi rokok seludup bernilai kira-kira RM7.7 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu merampas kira-kira 51,000 karton rokok pelbagai jenama termasuk Redwood, Bosston dan Paragon namun tiada penahanan individu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kes lain, Kamarul Zaman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Harimau, Taman Abad, Johor pada Isnin dipercayai terlibat dalam aktiviti pembelian minyak diesel bersubsidi.

Beliau berkata, serbuan pada pukul 2 pagi itu turut merampas sebuah lori bersama muatan diesel bersubsidi.

Menurut Kamarul Zaman, setengah jam kemudian, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Ungku Tun Aminah, Johor dan merampas wang tunai berjumlah RM17,722, dipercayai untuk membeli minyak diesel bersubsidi.

“Semakan mendapati dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi lain di Jalan Belati, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas pada pukul 11.20 pagi dan menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 34 tahun.

“Turut dirampas, 46,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM159,722, sebuah lori dan sekeping resit jual beli diesel,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan