33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

PM jamin pelihara hak Sabah, Sarawak

Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Majlis Khas Mengenai MA63 berkata, majlis khas itu bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri itu.

Menurut beliau, pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Umpama peribahasa, bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kerajaan juga menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini, bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka, malam tadi.

Ismail Sabri berkata, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021, bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan, untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

Beliau turut mengimbau kembali sejarah penubuhan Malaysia dengan hasrat penubuhannya disuarakan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, buat pertama kali ketika Persidangan Wartawan-Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

“Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura.

Advertisements

“Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura.

“Proses pungutan suara dan rundingan sangat getir dan berlangsung panjang, menagih pengertian serta kesabaran para pejuang.

“Segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Menurut beliau lagi, rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan Komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa.

“Nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh-tokoh yang telah menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia dan pejuang yang mewariskan kemakmuran yang dinikmati kini.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.

“Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya. 

-EDISI9

Advertisements

Terkini

KPM laksana pebagai inisiatif untuk reformasikan pendidikan negara

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara. Menurut KPM dalam kenyataannya, ini termasuk pengstrukturan...

Lagi Artikel Berkaitan