34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM gesa kuasa besar dunia jujur selesai isu Palestin

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kuasa besar dunia agar jujur dalam menyelesaikan isu Palestin yang sudah berlarutan begitu lama.

Ketika berucap pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York awal pagi ini (waktu Malaysia), Perdana Menteri berkata, pendirian tegas juga harus diambil oleh organisasi itu bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin itu diselesaikan segera.

Beliau berkata, rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel manakala penempatan haram semakin berleluasa.

“Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

“Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin,” kata beliau yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu.

Ketiak dunia seolah-olah melambat-lambatkan usaha di Palestin, Perdana Menteri berkata, sebaliknya kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine.

“Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Perdana Menteri sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Dalam pertemuan dua hala itu, sebanyak empat memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh kedua-dua negara dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala.

Ismail Sabri menerusi Facebooknya berkata, MoU itu melibatkan penubuhan mesyuarat jawatankuasa bersama serta memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan hal ehwal Islam.

“Saya turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus mendokong perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Pendirian Malaysia sejak sekian lama tidak sama sekali menyokong Israel di mana-mana pertubuhan antarabangsa sehingga Palestin mendapat hak mereka sebagai negara berdaulat,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri menegaskan, Malaysia turut menyokong proses perdamaian Israel dan Palestin serta penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Katanya, Malaysia juga mengalu-alukan rakyat Palestin untuk menyambung pelajaran di Malaysia dalam bidang-bidang penting yang dapat membantu pembangunan semula Palestin.

Sehingga kini, terdapat 800 pelajar Palestin di universiti terkemuka di Malaysia dan mereka meneruskan pelajaran dalam pelbagai bidang termasuk teknikal dan kejuruteraan. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan