29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

‘Tanpa saya, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa cubaan menolaknya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dibuat kerana pihak berkenaan sedar tanpa beliau, parti itu mudah diperkotak-katikkan.

Menurut Ahmad Zahid, selama ini mereka juga turut melabelnya dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil dan menolak UMNO secara keseluruhan.

Katanya, ia dapat dilihat apabila ada yang sengaja menggunakan label ‘kluster mahkamah’ kepada beliau namun tidak pula menggunakan label sama kepada pemimpin pembangkang.

“Sikap double standard ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik kita. Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut.

“Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kekal berpendirian bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih ketika zaman Pakatan Harapan (PH).

Mengulangi kenyataannya, Ahmad Zahid berkata, beliau pernah diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lompat parti, bagi menyertai Bersatu dan membubarkan UMNO.

“Mahathir suruh saya maklumkan kepada ahli UMNO supaya sertai Bersatu dan minta saya lupakan UMNO. Secara tegas saya menolak dan menyatakan bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid lagi, sebagai Presiden UMNO beliau perlu tegas dan tidak goyang dengan ancaman politik serta berpendirian ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’.

“Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan UMNO setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi seluruh pelosok negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

“Maka, saya tidak gentar mempertahankan UMNO walaupun berdepan pelbagai ugutan dan ancaman politik.

“Saya tetap istiqamah meskipun ketika itu ramai pemimpin UMNO sendiri menjauhi UMNO kerana percaya dakyah Mahathir bahawa UMNO tidak ada masa depan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengakui UMNO tidaklah 100 peratus sempurna, namun ia adalah parti terbaik dalam kalangan parti berteraskan Melayu Islam dan semangat Malaysia sebenar.

“Kini Perdana Menteri adalah daripada UMNO dan fasa seterusnya Insya-Allah berkat doa dan perjuangan berterusan UMNO akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Marilah kita bersama-sama bangkit, melonjakkan momentum, bergerak secara bersepadu dan merapatkan barisan kita,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

– Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan