29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Mahkamah Syariah diminta kaji hukuman khidmat masyarakat

Hakim Syarie juga hendaklah memastikan kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Syariah diminta untuk mengkaji perlaksanaan hukuman berbentuk khidmat kepada masyarakat bagi kesalahan yang tidak begitu besar dilakukan tertuduh.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah hukuman seperti itu tidak menampakkan adanya penindasan kepada mereka mempunyai kesalahan yang boleh diselesaikan secara budi bicara.

“Hakim perlu mendalami dan mengkaji supaya hukuman berbentuk perkhidmatan kemasyarakatan perlu diambil kira kerana kadang kala ada kesalahan tidak begitu besar,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, Kuantan, hari ini.

Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, Mahkamah Syariah bukan sahaja mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, malah mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara dalam aspek mempertahankan integriti mahkamah dan melindungi agama Islam.

Baginda bertitah, Mahkamah Syariah perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama membabitkan kes kekeluargaan.

“Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

Advertisements

“Hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, tanggungjawab sosial kepada negara untuk mempertahankan integriti mahkamah dan tanggungjawab untuk melindungi agama suci Allah.

“Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes supaya keadilan akan tercapai,” titahnya.

Baginda bertitah, hakim Syarie juga hendaklah memastikan kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.

Baginda juga mengharapkan supaya lebih banyak usaha dilaksanakan untuk meningkatkan institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya juga menyambut baik dan amat menyokong sebarang usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah.

“Usaha ini tidak sekali-kali akan mendiskriminasikan mana-mana pihak kerana prinsip utama undang-undang Syariah adalah keadilan kepada semua pihak,” titahnya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan