32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pembangunan negeri Sarawak sentiasa jadi keutamaan – PM

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Penyeragaman Harga di Sarawak.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMBANGUNAN negeri Sarawak sentiasa diutamakan Kerajaan Persekutuan dan ia terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan Sarawak.

Menurutnya, fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang itu melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

“Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta.

“Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini,” katanya sempena Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan Kerajaan turut menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.

Berikutan itu menurutnya, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Menurut beliau, daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program itu di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek SarawakSabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

“Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Malah menurut beliau, Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

“Ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,” katanya.

Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan Ismail Sabri berkata, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

Menurut beliau, daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

“Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif. 21. Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina.

Bagi sektor kesihatan pula kata beliau, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters.

“Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap, manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak.

Pada masa yang sama menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak juga komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) kepada rakyat negeri ini melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Bagi maksud ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia di Sarawak menjelang 2030.

Selain itu, menurut beliau, Kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025.

“Empangan ini berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan setempat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan