25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

NCIA berjaya tarik pelaburan RM17.25 bilion – PM

Ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk projek ladang tenusu bersepadu di Chuping

Mesti Baca

PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion sejak Januari sehingga 31 Julai lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, perkembangan positif itu termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

Beliau berkata, pelaburan itu juga disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan peranti perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

“Ia sekaligus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA hari ini.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

Advertisements

Jelas Perdana Menteri, NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

“Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” kata Perdana Menteri.

Katanya, mesyuarat turut bersetuju agar program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Pelaksanaannya, kata beliau, akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

“Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan