25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

KPM terus laksana penambahbaikan ikut keperluan semasa

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan, murid ditaksir melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Peperiksaan Pusat.

“Berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS, melibatkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu, iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah. Pentaksiran ini bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam konteks PBD, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan setiap murid dalam proses pembelajaran mereka termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

“Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka,”katanya menjawab soalan Lisan Natrah Ismail (Sekijang) di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022, hari ini.

Jelas Radzi, pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas yang kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

“Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3 mulai tahun 2022 adalah dengan menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan yang setara standardnya oleh KPM. Soalan tersebut disediakan oleh guru yang berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

“Untuk tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini. Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru.

“Penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik ini adalah bagi membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Dalam mencapai hasrat ini, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid.

“Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah. Kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

“Justeru, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah,”katanya.

Dalam pada itu, katanya KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan PBD.

“Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik dengan menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

“Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran. Di samping itu, guru kelas dan guru mata pelajaran akan memberi ulasan dan cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid.

“Selain daripada pelaporan PBD, laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi. Secara keseluruhan, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

“Pemerkasaan PBS merupakan antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid,”katanya.

Selain itu, Radzi berkata, KPM juga mempergiatkan program latihan untuk pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

“Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital.

“KPM yakin bahawa pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Sementara itu, beliau berkata, KPM telah memperkenalkan sistem permohonan berpusat ke sekolah khusus iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) mulai tahun 2020.

“PKSK merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik, kolej vokasional, sekolah menengah kebangsaan agama dan Maktab Tentera Diraja.

“Pentaksiran ini merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

“Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid, KPM dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan atau sekolah swasta adalah layak untuk memohon kemasukan ke sekolah khusus.

“Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus adalah melepasi syarat minimum PKSK serta aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Di samping itu, komponen PBD, PAJSK serta status sosial ekonomi (SES) turut digunakan dalam pemilihan murid ke sekolah khusus.

Ujar beliau, PKSK juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.-Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan