TENGKU Zafrul Abdul Aziz yang dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor, percaya gabungan itu adalah platform terbaik sebagai penyatu pelbagai kaum, generasi dan kumpulan dalam negara.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan tersebut berkata sebagai orang baru dalam politik, beliau memerlukan kerjasama dan perkongsian pengalaman dari pucuk pimpinan serta rakan bagi melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi, saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN dan BN Selangor di atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Bendahari BN negeri.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam BN Selangor mengumumkan Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari BN negeri bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik Ketua Komunikasi BN Selangor.

Sementara itu, Jamal menerusi hantaran di Facebook berkata, terima kasih diucapkan kepada Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
Jamal sebelum ini memegang jawatan sebagai Bendahari BN Selangor dan jawatan tersebut kini disandang oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.-Edisi 9

