32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

KKM sahkan tiada pengedar air zam zam di Malaysia

Air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran adalah diragui ketulenannya.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di negara ini yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen.

Justeru itu menurut beliau, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran adalah diragui ketulenannya.

“KKM mengambil maklum isu penjualan air zam zam secara online yang disiarkan oleh media tempatan pada 28 Jun lalu dan pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam ini telah diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi.

“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi yang termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan pengimportan produk itu memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Dr Noor Hisham lagi, kerajaan Arab Saudi juga tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

Menurutnya, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

“BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform online dan sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 juga Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam zam,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau secara online terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, pesalah yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

-EDISI9 

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan