27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bekalan air seluruh Pulau Pinang pulih

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKALAN air kepada pengguna di seluruh negeri ini pulih sepenuhnya semalam selepas terganggu sejak Rabu minggu lalu berikutan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Dua dan kejadian paip pecah di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

Menurut kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bekalan air itu pulih sepenuhnya kira-kira pukul 11 malam tadi.

PBAPP mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak dalam memulihkan bekalan air di negeri ini. PBAPP juga memohon maaf kepada semua pengguna air atas kesulitan sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor Utusan.

Operasi LRA di Sungai Dua terpaksa dihenti tugas selama empat jam Rabu minggu lalu kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Susulan penutupan itu, 80 peratus pengguna atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri terputus bekalan air dan mengakibatkan kesukaran kepada pengguna.

Menjawab mengenai soalan pengguna berhubung masa terlalu lama diambil untuk memulihkan bekalan air terawat di Pulau Pinang, menurut PBAPP, terdapat 59 kolam air air terawat dan 42 menara air terawat di Pulau Pinang.

”Kira-kira 80 peratus daripada kolam air dan menara air ini perlu diisi dengan air yang mencukupi sebelum 80 peratus daripada 95 rumah pam penggalak di Pulau Pinang dapat dimulakan semula secara manual untuk mengepam air kepada pengguna yang terjejas.

”Kira-kira 4,696 kilometer saluran paip (100mm dan ke atas) telah dipasang untuk menghantar bekalan air kepada kira-kira 660,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 80 peratus daripada saluran paip itu telah dikosongkan daripada air berikutan penutupan LRA Sungai Dua pada 6 Julai lalu.

”Oleh itu, kakitangan PBAPP terpaksa melepaskan ‘sendat udara’ secara manual sebelum tekanan saluran paip boleh dinormalkan. Bekalan air untuk pengguna terjejas yang tinggal di kawasan tanah tinggi atau hujung paip agihan (HPA) di Pulau Pinang hanya boleh dipulihkan selepas bekalan air pulih di kawasan lebih rendah,” katanya.

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan