31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik, air kekal – PM

Keputusan yang dibuat berkenaan membuktikan keprihatinan erajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini menarik balik cadangan untuk mengapungkan harga ayam mengikut pasaran yang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Julai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, dengan keputusan itu bermakna harga siling yang baharu akan ditetapkan dalam masa terdekat yang akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Keputusan yang dibuat berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa kini harga siling bagi ayam ialah RM8.90 sekilogram.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kadar tarif elektrik dan air bagi Semenanjung kekal pada kadar sedia ada.

Menurut beliau, dengan keputusan tersebut, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Katanya, ini bermakna pemberian rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan kepada pengguna domestik.

Advertisements

Manakala bagi pengguna komersial dan industri, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj dikekalkan.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak meneruskan kawalan siling bagi ayam dan telur ayam mulai 1 Julai.

Pada masa yang sama, beliau berkata, subsidi minyak masak tulen bagi kemasan botol juga tidak diteruskan bermula tarikh yang sama.

Keputusan kerajaan itu mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat kerana bakal berhadapan dengan kenaikan harga ayam, telur serta minyak masak.

Prihatin dengan situasi itu, Ismail Sabri kemudian mengumumkan bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi kategori bujang untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Namun, ramai yang menganggap bantuan tersebut terlalu kecil berbanding bebanan kenaikan harga minyak masak dan ayam, di samping peningkatan kos sara hidup sedia ada.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan