33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Suruhanjaya Patuh Syariah dicadang, kawal selia industri halal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Patuh Syariah bakal ditubuhkan dalam usaha mengawal selia yang lebih komprehensif termasuk ke atas industri halal di negara ini.

Usaha itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia merupakan antara inisiatif yang akan dilaksanakan kerana ketika ini proses kawal selia dilaksanakan adalah agak terhad.

“Pada masa ini, urusan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam diurus melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula untuk industri halal, justeru kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi II bertemakan Ekonomi Halal di Kuala Lumpur hari ini.

Program tersebut anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Yayasan Hadhari Global, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hadir sama, Pengerusi Legasi, Datuk Jefridin Atan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Siri syarahan itu merupakan ulang tahun yang kelima sejak ia kali pertama dianjur dan disampaikan pada 2017 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismail Sabri berkata, pembentukan Suruhanjaya Patuh Syariah dijangka mampu memenuhi misi negara dalam pemerkasaan aktiviti ekonomi Islam dan halal.

“Saya menyeru saranan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai model rujukan utama dalam bidang ekonomi halal direalisasikan.

“Sehubungan itu, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupaya dan diusahakan oleh pemegang taruh bagi memperkasakan bidang itu dalam meningkatkan pembangunan negara.

“Ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan yang sekali gus memperlihatkan kewajaran untuk dua aspek itu diberikan perhatian.

“Kepesatan kewangan patuh syariah turut dipacu permintaan tinggi masyarakat terhadap sistem bebas riba selain model pengembangan yang tersedia di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, data Global Islamic Economy Report dari 2016 sehingga 2021 menunjukkan Malaysia masih meraih prestasi teratas dalam sektor kewangan Islam sejagat, namun sektor lain iaitu makanan halal, pelancongan, fesyen, kosmetik, farmaseutikal, media dan rekreasi masih ada ruang diperbaiki untuk skor ditingkat.

Ujar Ismail Sabri, peranan dan sumbangan ekonomi halal terhadap negara ini masih boleh ditambah baik agar menjadi lebih signifikan mendepani ketidakpastian dan persaingan.

Pada program itu, Perdana Menteri turut melancarkan Dana Endowmen Ekonomi Halal anjuran Legasi, Yayasan Hadhari Global dan UKM dengan permulaan sebanyak RM1 juta.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan