24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

HWCITF mulakan siasatan, kaji selidik budaya kerja di KKM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan kaji selidik berkaitan budaya kerja di kementerian itu yang dijangka berakhir pada 7 Jun ini.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua kakitangan yang berkaitan agar mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Meningkatkan Budaya Kerja Kesihatan (HWCITF) yang ditubuhkan.

Beliau berkata, kaji selidik tersebut amat penting bagi memastikan usaha penambahbaikan budaya kerja di KKM dapat dilakukan dengan berkesan.

“Justeru, saya ingin mengajak semua kakitangan yang berkaitan untuk bersama menyertai kaji selidik ini dan sila hubungi Ketua Jabatan masing-masing sekiranya anda masih belum menerima emel berkaitan Kaji Selidik ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada 13 Mei lalu, Khairy mengumumkan penubuhan HWCITF yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir.

Pasukan tersebut turutu dibarisi oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada lapan individu yang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

Advertisements

Khairy berkata, budaya kerja yang sihat dan kondusif berupaya melahirkan kakitangan yang komited dan cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, pasukan petugas khas bebas itu antara lain berperanan membuat analisa dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), secara khusus.

“Ia juga menganalisa maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang serta memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja, proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, PPS atau doktor-doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) di hospital kerajaan me­ngakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan kerana dibuli.

Ia susulan kejadian seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan