32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa guna krayon tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyembunyikan dadah dalam peralatan mewarna krayon sebelum dihantar melalui syarikat kurier ke luar negara berjaya dibongkar polis susulan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di tepi jalan di George Town, Pulau Pinang, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Soffian Santong berkata, ekoran penahanan lelaki berusia 25 tahun pada 11.30 malam itu, polis berjaya membongkar sindiket tersebut yang beroperasi sejak pertengahan tahun lepas untuk pasaran dadah luar negara.

Katanya, susulan penahanan lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah sewa di Lebuh Sungai Pinang, Georgetown dan merampas syabu seberat 1.02 kilogram (kg) serta ketamin 77 gram (g) bernilai RM48,636, dan pelbagai peralatan membungkus semula dadah.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu membungkus semula syabu di dalam batang-batang krayon berwarna dengan memotong bahagian bawah krayon itu dan mengisinya dengan dadah seberat tujuh gram bagi setiap satu batang krayon.

“Setiap bungkusan yang mengandungi 48 batang (krayon) dengan lebih 300g dadah bernilai RM30,000, akan dihantar ke luar negara menggunakan syarikat kurier.

“Difahamkan dadah tersebut jika dijual di luar negara harganya lebih dua kali ganda nilai pasaran kita,” katanya hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM34,000 dari penganggur itu, yang didapati positif dadah.

Sementara itu, Soffian berkata, polis berjaya menumpaskan makmal mini memproses dadah dan menghasilkan campuran methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam minuman paket segera, selepas menyerbu sebuah rumah dalam operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 13 Mei lepas di Jelutong, di sini.

“Polis pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun sebelum menyerbu rumah sewa yang dijadikan makmal memproses dadah, dan susulan serbuan tersebut kami merampas serbuk MDMA seberat 3.32 kg yang yelah diisi dalam 97 paket minuman segera seperti kopi dan teh tiga dalam satu, serta jus buah-buahan.

“Kami turut merampas ketamin sebanyak 67.43g, syabu (18g), pil eramin 5 (160 biji) serta pil ekstasi sebanyak 24 biji, yang kesemuanya termasuk MDMA bernilai RM180,860,” katanya.

Soffian berkata, sindiket itu dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak bulan Mac lepas, serta usaha mengesan rangkaian sindiket tersebut giat dijalankan.

“Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM31,000 dan wang tunai sebanyak RM2,120 daripada lelaki yang positif dadah, serta mempunyai pelbagai rekod lampau,” katanya.

Menurutnya lelaki yang tidak bekerja itu direman sehingga 18 Mei, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Kanun Keseksaan.-Bernama

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan