28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sekolah di Kelantan kurang guru Bahasa Inggeris

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LAMBAKAN guru Pendidikan Islam yang bertugas di sekolah-sekolah negeri Kelantan menjadi faktor kepada kekurangan guru Bahasa Inggeris.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, berdasarkan data terkini, sekolah kebangsaan di Kelantan mengalami kekurangan sebanyak 450 orang guru manakala lebih 200 orang di sekolah menengah.

Menurutnya, kekurangan guru-guru itu disebabkan oleh lambakan guru Pendidikan Islam yang bertugas di Kelantan ketika ini.

“Guru Bahasa Inggeris tidak dapat ditempatkan di Kelantan selepas kapasiti guru di negeri ini sudah mencecah tahap maksimum iaitu 29,000 orang.

“Akan ada kekosongan akibat guru bersara, berhenti dan pembukaan sekolah baharu namun, tenaga pengajar yang paling ramai yang mahu berpindah ke Kelantan adalah guru Pendidikan Islam.

“Disebabkan masalah itu, murid-murid kita tidak mendapat akses untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris dengan baik.

“Ini kerana, mata pelajaran itu memerlukan kemahiran teknikal tertentu dan latar belakang guru tersebut dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Advertisements

Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu, kata Radzi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mengambil kira aspek tertentu dalam hal tersebut termasuk impak yang diterima oleh murid-murid.

Katanya, selain Kelantan, terdapat negeri-negeri lain yang kekurangan guru mata pelajaran tertentu dan pihaknya sedang mengatasi masalah tersebut ketika ini.

Sementara itu, dalam perkara berkaitan, beliau berkata, KPM berjaya mengisi kekosongan guru sebanyak 87 peratus daripada 18,702 yang dihadapi di sekolah-sekolah seluruh negara sejak sekian lama.

“Baki jumlah itu akan diisi secara berperingkat ekoran berlaku kekangan untuk mengisi kekosongan guru yang mengajar subjek kritikal.

Menurutnya, perkara itu dapat diselesaikan selepas pihaknya mengambil pendekatan pengambilan guru secara one off mengikut opsyen mata pelajaran dan kluster tertentu.

“Sebagai contoh, guru Fizik yang boleh mengajar Matematik akan dibahagikan mengikut kluster tertentu.

“Mereka akan ditempatkan di sekolah malah boleh mengajar salah satu mata pelajaran itu.

“Kaedah kluster guru-guru ini dapat memberi pendekatan campur dan padan (mix and match) mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru di sekolah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan