25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pandemik: Guru tetap gigih mendidik anak bangsa

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SETELAH lebih dua tahun negara melalui liku-liku serta cabaran mendepani wabak COVID-19, guru juga tidak terkecuali dalam menjayakan misi penting mereka iaitu untuk terus mengajar dan mendidik anak bangsa.

Bagi guru, tugas mendidik berjalan seperti biasa, namun mereka perlu bekerja lebih keras bagi menyesuaikan diri dengan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas negara beralih ke fasa endemik dengan pembukaan dan kelonggaran hampir semua aktiviti, ia turut memberi impak yang nyata kepada perubahan termasuk dalam sektor pendidikan.

Ya, memang banyak cabaran yang perlu dihadapi guru, tidak kiralah sama ada guru di bandar, luar bandar atau guru pendidikan khas namun mereka tetap bersemangat dan penuh ikhtizam untuk memastikan setiap murid mendapat kejayaan harus dipuji.

Ini kerana, asas kemenjadian generasi masa hadapan terletak di bahu insan bergelar guru.

Bagi guru, Muhammad Sany Kasmori, 41, setelah dua tahun murid perlu melalui proses mendapatkan pendidikan secara dalam talian, banyak yang guru perlu lakukan untuk memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang sempurna.

“Pendekatan ‘online’ pada hakikatnya tidak sama dengan pendekatan secara bersemuka. Memastikan kesejahteraan di sekolah yang meliputi keseluruhan aspek amat perlu dilaksanakan supaya keberkesanan kemenjadian murid terus berjaya,”katanya kepada Edisi 9.

Beliau yang sudah berkhidmat sebagai pendidik selama 16 tahun berkata, cabaran guru pula adalah terlalu subjektif untuk dibicarakan.

“Setiap guru melalui cabaran yang sangat berlainan. Di bandar cabarannya lain dengan kemajuan teknologi sekarang dan oleh itu, guru kena melangkah setapak lebih dari murid-murid.

“Guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran ilmu baharu. Murid di bandar juga berbeza dengan murid di kampung. Begitu juga dengan ibu bapa.

“Jika ada kalangan ahli keluarga bergelar guru, saya yakin mereka juga akan terkejut dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh insan yang bergelar guru ini,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Guru Pewaris Negara, Negeri Selangor.

Dalam pada itu, pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 Shah Alam ini berkata, kemudahan capaian internet di setiap sekolah juga perlu dipertingkatkan untuk memastikan proses pembelajaran dapat dijalankan selari dengan tranformasi pendidikan.

“Kaedah-kaedah baharu yang lebih kreatif juga perlu ada kerana murid-murid sekarang cukup berbeza dengan murid dahulu.

Sentuhan kerohanian dan keibubapaan diperlukan untuk menarik minat mereka.

“Dalam kontek ini juga masyarakat perlu bersama untuk membantu guru dalam memastikan kemenjadian murid yang lebih berkesan. Di kampung budaya menegur diluar masih lagi diamalkan berbanding di bandar,”katanya.

Sementara itu, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang, Mohd Muzammil Ab Rahim 29 berkata, cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh guru bandar kini adalah apabila guru sekarang berada dalam zaman millenial menyebabkan guru perlu pantas dalam mengadaptasi segala bentuk perubahan dan cabaran dalam pendidikan yang selari dengan dunia semasa.

MOHD MUZAMMIL AB RAHIM

“Apatah lagi, murid-murid kini merupakan generasi alfa yang sentiasa berdamping dengan teknologi.

“Justeru, bagi merapatkan jurang dan mencapai hasrat pendidikan, guru bukan sekadar beraksi di dalam kelas malah turut bersinergi di luar kelas bagi menghadapi cabaran semasa,”kata guru muda itu.

Guru pendidikan moral dari SMK Setia Alam, Nor Jilawati Mohd Amin 36 pula berpandangan, agenda utama dalam sesebuah pendidikan adalah perubahan dan transformasi diri individu daripada satu tahap ke satu tahap.

“Perubahan dan transformasi ini tidak akan terlaksana tanpa melibatkan pembangunan insan yang perlu direncanakan mengikut acuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“Pembangunan insan yang seimbang dan holistik tidak akan meminggirkan mana- mana aspek bahkan akan digabung dan dijalinkan agar dapat melahirkan insan yang mempunyai pegangan agama, nilai-nilai murni serta berkemahiran.

“Jadi, cabaran sebenar seorang guru ialah bagaimana untuk memanusiakan manusia (membina insan) di tengah-tengah era kegawatan dan kemusnahan nilai moral, akhlak, adab dan tabii manusia.

“Isu dalam profesion ini juga dikaitkan dengan pendekatan dan kaedah pengajaran guru. Jadi bagaimanakah insan itu dapat dibangunkan jika penyampaiannya tidak menarik perhatian orang yang hendak dibangunkan.

NOR JILAWATI MOHD AMIN

“Guru-guru tidak berkesempatan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap pengajarannya. Hasilnya, guru terpaksa menghabiskan isi kandungan mata pelajaran kerana bimbang pelajar tidak mampu menjawab sekiranya tajuk yang tidak diselesaikan akan keluar di dalam peperiksaan.

“Persoalannya, bagaimanakah bentuk insan yang ingin dilahirkan oleh pendidikan masa kini?,” soal beliau.

Meskipun begitu, kata beliau, tunjang utama dalam profesion perguruan ialah ilmu dan guru merupakan ejen penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.

“Oleh itu, para guru haruslah melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa menjaga nama baik mereka sebagai seorang pendidik dan pemimpin murid dengan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.

“Perwatakan, keilmuan dan kemahiran profesional guru memainkan peranan yang penting bagi membolehkan penyampaian ilmu secara berkesan tentang kepercayaan, pengetahuan, kemahiran dan pemahaman yang diperlukan pada semua peringkat.

“Sekiranya tidak ada guru nescaya tidak akan teratur apa yang telah dihasilkan oleh ibu bapa untuk mendapatkan kebaikan yang berkekalan. Sesungguhnya guru memberi faedah di dunia dan akhirat selama-lamanya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan