31 C
Kuala Lumpur
Monday, December 5, 2022

Penggubal sukatan pelajaran Tokoh Guru Kebangsaan 2022

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JASAMU akan dikenang selamanya.

Khidmat bakti menjadi guru selama 37 tahun dan pada masa sama terbabit dengan pembubaran kokurikulum bagi subjek Kajian Tempatan untuk murid Tahun Lima dan Enam menjadi pengalaman yang indah buat Roslan Yatim, 65 tahun.

Lebih manis, baktinya menjadi seorang pendidik sekaligus telah melayakkan pesara guru itu diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022 pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51, hari ini.

Menerusi anugerah berkenaan, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, Kedah yang pernah dinobatkan sebagai Guru Besar Cemerlang menerima wang tunai RM40,000 dan pingat emas bernilai RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Menurut Roslan, ketika bertugas, beliau yang berasal dari Seberang Alor, Kuala Perlis menjadi jurulatih utama subjek Kajian Tempatan yang aktif menyampaikan ceramah dari 1994 hingga 2016.

Baca juga:   Doktor kontrak sertai hartal tidak kena tindakan disiplin

“Saya menjadi panel penggubal sukatan pelajaran dan huraian sukatan bagi subjek Kajian Tempatan, selain aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan serta menyumbang dalam penghasilan buku teks Kajian Tempatan.

“Bagi peringkat antarabangsa, saya menerima beberapa penghargaan termasuk memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua anugerah khas bagi Pertandingan Belia Reka Cipta Antarabangsa (IYIC) di Korea Selatan pada 2014,” katanya hari ini.

Baca juga:   Wajib patuh pendirian UMNO isu Ordinan Darurat

Bapa kepada enam anak itu berkata, guru perlu diberi sokongan dalam mendidik generasi masa kini sekali gus dapat memastikan mereka terus cemerlang.

Sementara itu, penerima bagi Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022 diberikan kepada Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah, 71.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi anugerah itu kepadanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Sarawak berkata, beliau diberi kepercayaan oleh kerajaan Sarawak untuk menyediakan program pendidikan kepada komuniti di negeri berkenaan.

“Saya melihat pendidikan kita amat penting untuk melahirkan dan membentuk generasi pelapis yang akan datang,” katanya yang turut menerima wang tunai RM40,000 dan RM10,000 pingat emas. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan