34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pertukaran guru tidak boleh dihalang guru besar – Dr Radzi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengumumkan keputusan baharu dengan menetapkan permohonan pertukaran sekolah oleh guru kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, jika sebelum ini permohonan pertukaran memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan untuk memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

Dalam pada itu, katanya, guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan KPM bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

“Pengumuman untuk pertukaran guru pula diubah kepada empat kali setahun berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

“Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Kelantan hari ini.

Radzi berkata, langkah tersebut akan memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti.

“Bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkara berkaitan beliau berkata, KPM juga akan mewujudkan aplikasi penyusunan jadual yang akan digunakan oleh semua sekolah di seluruh negara.

“Kemudahan itu akan disediakan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelas beliau, menerusi aplikasi berkenaan, ia akan memudahkan pihak sekolah menyediakan jadual lebih anjal membabitkan tiga hingga empat subjek sehari.

“Sekarang ini kebanyakan sekolah membeli aplikasi untuk penyediaan jadual daripada vendor tertentu dan hasil kita turun di lapangan juga mendapati pihak sekolah berdepan masalah untuk penyediaan jadual.

“Justeru, KPM tetapkan untuk membangunkan satu aplikasi yang membolehkan sistem terbabit membuat penyusunan jadual berdasarkan maklumat yang diisi pihak sekolah dari segi bilangan guru dan kelas,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan