33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Mengajar di sekolah luar bandar… ini pengalaman Cikgu Endon

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SETELAH dua tahun negara dibelenggu pandemik COVID-19, sambutan Hari Guru Malaysia yang bakal disambut pada tanggal 16 Mei 2022 ini sudah tentu ditunggu-tunggu oleh semua.

Bagi Cikgu Endon Bidin, 67, hari itu adalah penting buat sekalian rakyat Malaysia bagi memperingati segala jasa guru dalam mendidik anak bangsa.

Berkongsi cerita, Endon memberitahu bahawa beliau bersara awal pada usia 54 tahun.

Sebelum bersara pada tahun 2009, selama 28 tahun bergelar guru, paling istimewa adalah semasa ditempatkan di beberapa sekolah luar bandar.

“Dari sekolah kluster iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1, saya mencabar diri memohon pertukaran ke Sekolah Kebangsaan Kemubu yang terletak di kawasan luar bandar dekat Kuala Krai.

“Kecerdasan murid-murid di sekolah luar bandar tersebut adalah jauh ketinggalan berbanding di sekolah kluster.

“Rata-rata ibu bapa pelajar yang bekerja sebagai penoreh getah atau pekerja kontrak (dalam sektor pembalakan) mempunyai literari yang rendah, saya lihat sedikit banyaknya menjejaskan tahap perkembangan anak-anak mereka di sekolah.

“Di samping itu, sesetengah sekolah luar bandar dijadikan tempat untuk penempatan semula guru-guru yang ada rekod disiplin atau berbeza pendapat politik, akhirnya memberi kesan pada motivasi guru-guru secara keseluruhannya dalam membantu perkembangan kecerdasan pelajar-pelajar di sekolah luar bandar yang berkenaan,” jelasnya.

Dua tahun berikutnya, Endon memberitahu beliau sekali lagi mencabar diri dengan memohon pertukaran ke kawasan penempatan Orang Asli, di Sekolah Rendah Post Brooke dekat Gua Musang, Kelantan.

“Di Sekolah Kebangsaan Post Brooke, rata-rata pelajar bercakap dalam bahasa loghat Orang Asli, sementara sistem pengajaran di sekolah menggunakan bahasa Melayu Tinggi.

“Pelaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) pada waktu itu menambahkan lagi cabaran buat guru-guru dalam mendidik para pelajar di Sekolah Post Brooke,” jelasnya lagi.

Tidak lama selepas itu, Endon memberitahu beliau ditempatkan ke Sekokah Rendah Convent Tanah Rata dekat Cameron Highland.

“Ini, sekolah terakhir saya ditempatkan sebelum bersara awal, dan sekolah ini juga berada di kawasan luar bandar seperti Sekolah Kebangsaan Kemubu dan Sekolah Kebangsaan Post Brooke.

“Cuma, bezanya, rata-rata pelajar di Sekolah Convent ini mempunyai tahap kecerdasan akademik yang tinggi, sangat petah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di sekolah tersebut, saya dapat lihat rata-rata guru bukan sahaja mempunyai tahap motivasi yang tinggi untuk mendidik pelajar-pelajar, malah dalam kalangan mereka ada juga guru pakar.

“Dari situ, tahap kecerdasan murid sekolah luar bandar bukan disebabkan faktor keturunan termasuk ibu bapa yang lemah daripada segi literasi, tetapi disebabkan faktor persekitaran di sekolah itu sendiri.

“Pelbagai cabaran sebagai pendidik di sekolah luar bandar memang memerlukan guru terlatih yang ada motivasi kerja yang tinggi, lagi bagus kalau guru-guru pakar ditempatkan ke sekolah luar bandar bagi meningkatkan tahap kecerdasan murid di sana,” jelasnya lagi.

Tanpa menoleh ke belakang, kata Endon lagi, beliau percaya pada hari ini mutu pendidikan negara termasuk di sekolah luar bandar adalah lebih baik berbanding dekad sebelumnya.

Dengan guru terlatih yang mencukupi pada hari ini, sudah tentu mampu membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memperbaiki lagi mutu pendidikan di sekolah termasuk lah dekat kawasan luar bandar.

Difahamkan, Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Radzi bin Md. Jidin antara lain ada mengumumkan mengenai status pengambilan guru secara ‘one-off’ atau COS seramai kira-kira 18,702 orang bagi memenuhi keperluan semasa di sekolah.

Menerusi Facebook, beliau memberitahu bahawa sehingga 11 Mei lepas seramai 13,770 orang guru terlatih telahpun ditempatkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Tambah beliau lagi, baki kira-kira hampir 5,000 orang kekosongan yang masih belum diisi adalah disebabkan kekurangan guru dalam subjek bahasa Inggeris, Pendidikan Seni dan Visual di samping keperluan tenaga pendidik di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Semoga dengan pengumuman terbaru ini bukan sahaja menjadi simbol usaha KPM dalam memperbaiki mutu pendidikan di sekolah.

Paling penting daripada pengumuman Menteri, diharap turut membantu guru menangani pelbagai lagi cabaran sebenar jika mereka ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar.

Selamat Hari Guru! – ZAINULFAQAR YAACOB

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan