32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Polis terima empat laporan kanak-kanak dicabul jurulatih wushu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS mengesahkan menerima empat laporan kes cabul kanak-kanak membabitkan seorang jurulatih wushu yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual ke atas atlet kendaliannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata laporan itu masing-masing dua di Kuala Lumpur dan dua di Selangor.

Menurutnya, laporan di Kuala Lumpur diterima daripada dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun yang mendakwa mereka dicabul oleh jurulatih itu di sebuah akademi di Cheras.

“Sebelum ini mangsa mendiamkan diri kerana takut dan hanya menceritakan kejadian yang menimpa diri mereka kepada ibu bapa pada April lalu.

“Ibu bapa mangsa segera tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ujar Habibi lagi, suspek seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 372).

Menurutnya lagi, berdasarkan siasatan awal suspek mengajak mangsa keluar bersiar-siar dengan menaiki keretanya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam kereta.

“Setakat ini kertas siasatan kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.

“Jika perlu keterangan lanjut, kemungkinan polis akan mohon sambung reman suspek, namun jika sudah cukup keterangan, suspek akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Habibi memaklumkan, operasi akademi wushu itu kini dihentikan sementara waktu berikutan penahanan suspek itu.

21 Mei lalu, seorang jurulatih wushu ditahan polis selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas atlet di bawah kendaliannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang berusia 31 tahun ditahan susulan laporan polis dibuat pada 10 Mei lalu oleh bapa kepada atlet terbabit.

Suspek ditahan di rumahnya di Taman Kajang Mewah, di sini, pada 11 Mei dan kini ditahan reman sehingga Isnin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

-EDISI9

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan