29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MyCC siasat kewujudan kartel ayam – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat berkenaan kewujudan kartel terdiri daripada syarikat besar yang mengawal harga dan pengeluaran ayam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Menurutnya, laporan siasatan berkenaan kartel tersebut dijangka selesai pada bulan depan.

“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

“Ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini menurut Ismail Sabri, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Selain itu, beliau turut menyatakan Peguam Negara dipanggil pada Mesyuarat Kabinet pada hari ini dan telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

Menurutnya, Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) yang memperuntukkan penalti.

Advertisements

“Bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3tahun (atau kedua-duanya sekali).

“Bagi perbadanan atau syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit,” katanya.

Dalam pada itu menurut beliau, sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini.

“Menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan Kerajaan adalah rakyat sendiri.

“Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi,” katanya.

Selain itu menurutnya, Kerajaan turut memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

“Kerajaan juga akan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya.

Pada masa yang sama menurut beliau, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan