28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

USM lahirkan 110 pakar bedah neuro negara

Belum cukup untuk tampung keperluan seluruh negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) sehingga kini telah melahirkan 110 daripada 152 pakar bedah neuro bertauliah yang ada dalam negara, berdasarkan data terkini yang diperoleh daripada National Specialist Register (NSR).

Pakar Bedah Neuro yang juga pensyarah pembedahan berpengalaman USM, Profesor Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun belum cukup untuk menampung keperluan sebenar negara.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meminta USM selaku perintis program berkenaan, bersama-sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan.

“Pihak KKM menyeru agar kita dapat melatih kira-kira 25 pakar setahun dan bermula Disember tahun ini, USM, UKM dan UM akan bekerjasama untuk melatih pakar-pakar neuro untuk cuba menampung keperluan di seluruh negara,” ujar beliau hari ini, lapor Kosmo!.

Jafri Malin yang juga Pengerusi Kluster Otak dan Tingkah Laku, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM berkata demikian kepada pemberita ketika Upacara Konvokesyen ke-59 USM di sini.

Dalam upacara pada sidang ketiga itu, sejumlah 574 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing, antaranya Sarjana Neurosains, Sarjana Neurosains Kognitif, Sarjana Psikologi Klinikal dan sebagainya.

Hadir sama ialah graduan-graduan cemerlang bagi program berkenaan, antaranya Dr. Ang Song Yee dan Dr. Diana Noma Fitzrol yang telah memulakan karier sebagai tenaga pengajar di Kampus Kesihatan USM.

Dalam pada itu, Timbalan Penyelaras Program bagi kursus Sarjana Neurosains Kognitif, Dr. Aini Ismafairus Abd. Hamid berkata, sarjana Neurosains Kognitif juga merupakan antara kursus kritikal yang amat diperlukan dalam bidang sains, teknologi dan kesihatan negara.

Beliau berkata, program secara kerja kursus itu mula ditawarkan di USM pada 2018 dan sehingga kini seramai 21 graduan telah berjaya berijazah dalam kursus berkenaan yang turut menerima calon dari pelbagai bidang sains dan sastera.

Pihak program khususnya serta pihak universiti amnya sangat berbangga dengan pencapaian yang dicapai oleh para graduan.

“Kita berharap dengan ilmu serta kemahiran yang diperolehi dapat memberikan manfaat dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi samada neuropendidikan, neuropemasaran, neuropsikologi, Islam dan Neurosains serta pelbagai bidang lain dalam neurosains kognitif.

“Selaku pendidik, kita juga sentiasa berbangga dengan setiap pencapaian graduan. Kita juga menggalakkan para pelajar supaya sentiasa mempraktikkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan sentiasa dahagakan ilmu untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat,” ujar beliau.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan