Thursday, July 9, 2026

Guna krim sembarangan punca kes ekzema melonjak

Ekzema merupakan penyakit kronik yang menyebabkan kegatalan, ruam kemerahan, kulit kering dan bersisik. 

Mesti Baca

PENGGUNAAN krim yang tidak dikawal selia serta lewat mendapatkan rawatan perubatan menjadi punca peningkatan kes ekzema di negara ini.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Oriental Melaka, Dr Ng Lim Chui, kanak-kanak merupakan kumpulan paling terjejas dengan kadar Atopic Eczema (AE) kalangan golongan ini meningkat daripada 9.5 peratus pada 1994–1995 kepada 12.6 peratus pada 2002–2003.

“Kami melihat peningkatan jumlah pesakit yang telah menggunakan krim steroid yang dibeli di kaunter atau mendapatkan rawatan tradisional selama beberapa minggu atau bulan tanpa panduan yang perubatan betul.

“Walaupun produk ini mungkin memberi kelegaan sementara, dan boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti penipisan kulit, kesan regangan (striae) serta kulit menjadi rapuh dan mudah lebam,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ekzema merupakan penyakit kronik yang menyebabkan kegatalan, ruam kemerahan, kulit kering dan bersisik. 

DR NG LIM CHUI

Walaupun sering dianggap sekadar ruam biasa, keadaan tersebut boleh menjejaskan tidur, prestasi pembelajaran, kesejahteraan emosi serta kualiti hidup secara keseluruhan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. 

Dr Ng menegaskan,  pengesanan awal dan rawatan profesional amat penting dalam pengurusan ekzema. 

Katanya, antara tanda-tanda yang tidak wajar diabaikan termasuk kegatalan berpanjangan, kulit kering atau bersisik, ruam di lipatan siku atau lutut, serta ekzema pada pipi bayi. 

“Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya mendapati tanda jangkitan pada anak seperti nanah, kemerahan  kulit, bengkak atau demam. 

“Intervensi awal dapat mencegah jangkitan kulit dan penebalan kulit (lichenification) daripada menjadi lebih teruk, selain mengurangkan kesan emosi dan psikologi terhadap kanak-kanak serta penjaga,” jelasnya.

Beliau turut berkata, salah faham mengenai ekzema masih wujud dalam kalangan masyarakat. 

Katanya, ramai rakyat Malaysia masih percaya penyakit tersebut berpunca daripada kebersihan diri yang kurang, bersifat berjangkit atau boleh disembuhkan sepenuhnya dengan krim biasa. 

Salah faham ini sering menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan yang sesuai serta mendorong kepada amalan rawatan sendiri yang tidak selamat. 

Selain itu, cuaca panas di Malaysia, faktor persekitaran dan gaya hidup turut menyumbang kepada kekerapan serangan ekzema. 

Proses pembandaran, pendedahan kepada alergen dalaman seperti hama debu, serta penggunaan produk penjagaan diri yang merengsakan kulit dikenal pasti sebagai antara faktor yang meningkatkan beban penyakit ini dalam komuniti.

Di Malaysia, pilihan rawatan ekzema kini semakin berkembang, termasuk fototerapi, terapi sistemik,  penggunaan ubat biologik dan perencat JAK bagi kes yang teruk atau sukar dirawat. 

Namun, pakar menegaskan bahawa penjagaan harian dan pencegahan kekal sebagai asas utama pengurusan jangka panjang. 

Antara langkah penting termasuk penggunaan pelembab kulit secara berterusan, pemilihan sabun mesra kulit, pemakaian pakaian yang membenarkan pengudaraan, mandi air suam dalam tempoh singkat serta memastikan rutin tidur yang mencukupi.

“Pendidikan dan kesedaran awam amat penting. Pengesanan awal, pengurusan yang betul serta rujukan tepat pada masanya kepada pakar dermatologi boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara. 

“Ibu bapa dan pesakit perlu memahami bahawa ekzema ialah penyakit kronik yang memerlukan penjagaan berterusan, bukan penyelesaian segera,” katanya.

Usaha meningkatkan kesedaran awam dilihat penting bagi mengurangkan komplikasi akibat ekzema. 

Kempen pendidikan, pengesanan awal serta panduan penggunaan produk topikal yang betul dikenal pasti sebagai langkah utama dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada kesan jangka panjang penyakit ini. — Edisi 9

Terkini

Pop Meals sasar buka 100 outlet menjelang akhir tahun

JENAMA makanan tempatan yang sedang berkembang pesat, Pop Meals mensasarkan untuk memiliki 100 outlet di seluruh negara menjelang akhir...

Lagi Artikel Berkaitan