DATUK Dr Akmal Salleh telah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang Perhimpunan Agung UMNO esok.
Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, pertemuan beliau dengan Ahmad Zahid itu membolehkan beliau meluahkan isi hati dan hasratnya sebelum ini.
Beliau berterima kasih kepada Ahmad Zahid yang sudi memberi nasihat dan mendengar luahan hatinnya.
“Isi hati dan hasrat telah saya luahkan sebentar tadi. Terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi atas nasihat dan kesudian mendengar.
“Insya-Allah, moga ini yang terbaik untuk perjuangan agama, bangsa, tanah air dan UMNO,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau sebelum ini memberi bayangan untuk melepaskan jawatan setelah kecewa apabila gesaan beliau agar partinya menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.
Beliau dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO minggu lalu juga menuntut keberanian ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menjadi pembangkang sehingga pilihan raya umum akan datang.
Malahan beliau juga mencadangkan Muafakat Nasional dihidupkan semula bersama Pas sebagai usaha menyatukan orang Melayu dan Islam.
Menanggapi desakan itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan kekal menyokong Kerajaan Madani sehingga PRU akan datang.
Manakala cadangan kerjasama dengan Pas, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama, di tempat yang sama.
Bagaikan kecewa dengan keputusan itu, Akmal memberi bayangan untuk melepaskan jawatannya namun menunggu sehingga Perhimpunan Agung UMNO untuk beliau mengumumkan kedudukannya. – Edisi 9

