Tuesday, July 21, 2026

Ilmuan, ulama perlu jadi nurani negara – Zahid

Pertemuan antara umara’ dan ulama bukan sekadar hubungan institusi, sebaliknya merupakan gabungan amanah dan hikmah yang penting...

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

GOLONGAN ilmuan dan ulama perlu memainkan peranan sebagai nurani negara dengan memimpin pemikiran masyarakat berlandaskan hikmah, ilmu dan kebijaksanaan, bukan mengikut emosi atau sentimen sempit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan antara umara’ dan ulama bukan sekadar hubungan institusi, sebaliknya merupakan gabungan amanah dan hikmah yang penting bagi memastikan keseimbangan antara tuntutan agama dan realiti kenegaraan.

“Sebagai seorang yang memikul amanah qiyadah (kepimpinan) negara, saya percaya satu perkara; negara boleh dibina dengan kekuatan, tetapi ia hanyadapat dipimpin dengan hikmah dan kebijaksanaan.

“Ilmu tanpa amanah akan menjadi alat. Kuasa tanpa ilmu pula akan menjadi beban. Di sinilah letaknya peranan besar ilmuan sebagai nur (cahaya) yang menerangi perjalanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Multaqa anjuran Majlis Ulama UMNO itu menampilkan ahli panel antaranya Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Faiwaz Fadzil dan Mufli Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Multaqa Ilmuan Islam Malaysia di WTC Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Dusuki Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Ahmad Zahid, realiti umat Islam masa kini menunjukkan syiar agama semakin terserlah, namun adab dan hikmah semakin terhakis, khususnya dalam wacana awam dan media sosial yang sering dipacu emosi serta slogan politik.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila agama digunakan sebagai alat mobilisasi sentimen sehingga mencetuskan perpecahan, kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

“Terkadang, dilema para ilmuan dan ulama di dalammeng-istinbad-kan (menetapkan) hukum, gagal untuk menjiwai realiti semasa (fiqh al-wāqi‘).

“Dan lebih mengeruhkan lagi, bicara sebahagian agamawan dipacu emosi dan slogan politik hingga mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan peranan ulama bukan sekadar menentukan halal dan haram, tetapi sebagai penjaga etika kuasa serta penentu arah moral negara dengan memimpin fikiran masyarakat secara bil-hikmah.

Mengulas kedudukan Islam dalam kerangka kenegaraan, beliau menegaskan, UMNO tidak pernah menolak atau mengeksploitasi agama, sebaliknya menjadikan Islam sebagai panduan kenegaraan yang diterjemahkan melalui dasar dan institusi, bukan slogan atau retorik politik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3, peranan Raja-Raja Melayu diperkukuhan di dalam Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupa,” katanya.

Dalam menghadapi tekanan ekonomi global, inflasi dan kenaikan kos sara hidup, Ahmad Zahid menegaskan kepimpinan negara perlu berpegang kepada pendekatan Fiqh al-Mīzān sebagai neraca menimbang antara maslahat dan mudarat dalam setiap keputusan.

Beliau berkata, kestabilan politik bukan satu kompromi terhadap prinsip, sebaliknya syarat penting untuk memelihara kepentingan rakyat dan kelangsungan negara.

Dalam politik kenegaraan, Fiqh al-Mīzān membimbing ijtihad siyasī agar kita memahami bahawa kestabilan bukan kompromi prinsip, tetapi syarat untuk memelihara maslahat rakyat.

“Ada ketika, menahan diri lebih besar maslahatnya daripada menambah konflik yang hanya melemahkan negara,” katanya.

Ahmad Zahid yakin jika ulama dan ilmuan terus memandu dengan hikmah, menimbang dengan amanah serta memelihara agama dan negara dengan kebijaksanaan, Islam akan kekal sebagai agama rahmah, ummah dipayungi ketenangan dan negara dipimpin dengan keberkatan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan