28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kekejaman Israel terhadap Palestin tak boleh terus berleluasa – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia dalam isu rakyat Palestin kali ini dalam Kemuncak kepada Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat.

Beliau berkongsikan beberapa isu lagi yang perlu diselesaikan secara rundingan damai dalam Sidang khas yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkenaan antaranya isu membabitkan konflik Rusia-Ukraine dan Mynmar dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membangkitkan isu Palestin ini secara jelas.

“Saya mengutarakan pendirian mengenai isu Palestin yang telah berlarutan selama 74 tahun. Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh terus berleluasa.

“Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya secara jujur menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas.

“Negara Palestin perlu diwujudkan seperti yang terkandung di dalam resolusi PBB iaitu dengan persempadanan sebelum perang 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kongsinya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyatakan pendirian mengenai konflik Rusia-Ukraine perlu diselesaikan secara damai, bukan dengan peperangan.

Menurut beliau, peperangan tidak memberi apa-apa kebaikan kepada mana-mana negara malah membawa penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa.

“Konflik Rusia-Ukraine juga memberi kesan ekonomi kepada negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Malaysia menggesa, agar Amerika Syarikat menggunakan pengaruh mereka untuk mewujudkan pendamaian dalam konflik Rusia-Ukraine,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Ismail Sabri menegaskan Malaysia berpendirian agar Laut China Selatan kekal sebagai kawasan bebas dari campur tangan kuasa besar dan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas.

“Malaysia tidak mahu terdapatnya provokasi kuasa besar di Laut China Selatan.

“Malaysia juga mahu isu Myanmar diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan kepada ‘5 points consensus.’

“Malaysia menekankan tentang isu pelarian Myanmar dan mahu bantuan Amerika Syarikat supaya mengambil mereka untuk dipindahkan ke negara lain,” katanya.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan