29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PM umum bantuan RM1,000 untuk mangsa kepala air Janda Baik

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN akan memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terdiri daripada mangsa kejadian kepala air di Janda Baik, Pahang, bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan berkenaan akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara , Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama-sama Setiausaha Politik beliau semasa melawat mangsa nanti.

Menurutnya, beliau merasa simpati terhadap Keluarga Malaysia yang terlibat dalam tanah runtuh disebabkan kejadian kepala air di Janda Baik, Bentong, Pahang.

“Saya kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C.

“Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook, hari ini.

Ismail Sabri menyatakan penduduk terbabit dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah.

“Saya menasihatkan agar penduduk di sekitar itu sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun ia masih agak deras dan keruh.

“Terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa,” katanya.

Semalam, beberapa kampung di Janda Baik dilanda banjir kilat kira-kira pukul 5.30 pagi, ekoran hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi.

Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan