31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Saya masih Ketua Menteri Melaka – Sulaiman

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“SAYA ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk kepemimpinan (parti dan negara).

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15.’’

Itulah yang ditegaskan oleh Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam kenyataan hari ini bagi menjawab pelbagai spekulasi berhubung kedudukan beliau dalam menerajui Kerajaan Negeri Melaka.

Sambil menafikan sudah melepaskan jawatan berikutan dakwaan beliau dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan, Sulaiman yang membawa Barisan Nasional (BN) menang cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu pada November lalu menegaskan, dakwaan terbabit tidak benar serta berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinnya.

Sulaiman berkata, isu seperti itu tidak sepatutnya timbul terutama ketika UMNO dan BN negeri sedang memberi fokus bagi memperkukuhkan usaha serta tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli politik negeri bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya satu kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru supaya kita semua muhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU-15 akan datang.

“Kita mempunyai agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang sudah dibuat oleh parti,” katanya.

Sulaiman berkata, selepas memenangi PRN lalu, beliau bersama barisan Exco dan anggota pentadbiran kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih melaksanakan program pembangunan serta memenuhi aku janji yang dibuat.

Kata beliau, segala usaha terbabit adalah untuk memastikan Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri serta negara maju yang lain.

“Ketika ini saya bersama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina bagi mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022, sekali gus melihat peluang pelaburan baharu negara Balkan itu di samping mengambil kesempatan untuk menarik pelaburan asing ke Melaka.

“Pada masa yang sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahu pun daripada segi perkembangan politik tanah air,” katanya.

Isu peletakan jawatan tercetus apabila baru-baru ini pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, pula menafikan khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.-Bernama

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan