24.5 C
Kuala Lumpur
Monday, September 26, 2022

Asia boleh main peranan terajui dunia yang berbelah pendirian

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengusulkan kepada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, Jepun tiga perkara utama untuk membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

Berkongsi pandangannya pada persidangan yang juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei itu, Ismail Sabri berkata, perkara itu adalah Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau, Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan serta Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim.

“Ini adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia,” katanya dalam penampilan sulungnya pada persidangan tahunan dengan tema Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian pada tahun ini.

Ismail Sabri berkata perkara utama dalam memperkasakan integrasi ekonomi serantau adalah menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik COVID-19.

Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, beliau menggesa  pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan  di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ismail Sabri berkata usaha juga perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti  ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan.

“Pembuat dasar di Asia juga harus menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai antara pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi  rantau itu,” katanya.

Beliau berkata transformasi digital secara besar-besaran dan menyeluruh melibatkan PMKS membolehkan mereka menyertai aktiviti e-perniagaan rentas sempadan secara lebih aktif, setelah pandemik telah menyedarkan usahawan supaya menerima pakai penyelesaian  digital dan teknologi untuk kekal relevan.

Baca juga:   Hubungan dua hala Malaysia, AS sejak 60 tahun lalu - PM
Baca juga:   PM zahir takziah pemergian Shinzo Abe

Menurutnya,  Asia berada pada kedudukan yang baik kerana menguasai  pasaran e-perdagangan terbesar di dunia, mewakili  57 peratus  atau US$1.1 trilion daripada nilai jualan e-perdagangan dunia pada 2019 dan dijangka mencecah 61 peratus atau US$1.9 trilion menjelang  2024.

Beliau berkata pembuat dasar sama ada swasta atau awam perlu bekerjasama membina jaringan logistik yang mantap, membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam rantaian bekalan, dan mempromosi pembangunan teknologi digital inovatif bagi membolehkan PMKS meningkatkan penyertaan dalam aktiviti e-perdagangan rentas sempadan.

Menyentuh kepentingan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan, Ismail Sabri berkata Malaysia mengiktiraf perundingan sebagai penting sama ada di peringkat Asia Tenggara atau pun Malaysia sendiri bagi mencari penyelesaian kepada cabaran bersama atau pertikaian.

Ini  dilakukan melalui mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN Campur Tiga dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus yang platform berkenaan kekal aktif  dan membuktikan konsep musyawarah boleh dilakukan antara pemimpin dan pihak berkepentingan bagi keselamatan dan keamanan serantau.

Melalui ASEAN, katanya negara anggota mengadakan dialog yang membina, menggalakkan penyelesaian secara damai bagi setiap pertikaian dan memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran global bersama dengan berteraskan kepada kepaksian pada ASEAN (ASEAN Centrality).

“Pertikaian  diredakan secara diplomasi, pragmatisme dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa yang menjadi pegangan negara-negara anggota ASEAN,” katanya.

Ismail Sabri berkata dalam usaha memperkasakan peranan Asia melalui mekanisme kerjasama serantau, ia perlu berhati-hati dalam tindak balas terhadap  isu-isu  sedia ada dan juga yang  baru muncul.

“Tidak perlu diadakan rangka kerja baharu sebaliknya platform sedia ada boleh  digunakan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Baca juga:   PM, Pemangku Raja Pahang bincang isu Harimau Malaya

Dalam gesaannya kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim, Ismail Sabri pada persidangan itu berkata Asia terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Pada 2021, menurutnya lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik dan menjelang 2050, sebahagian besar Asia diramal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau, yang akan menyebabkan kemusnahan yang dahsyat kepada ekonomi dan masyarakat.

Beliau berkata sudah tiba masanya, pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui bahawa perubahan iklim akan mengubah semula usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau.

Baca juga:   Najib pertahan barisan Kabinet Ismail Sabri

“Krisis perubahan iklim merupakan isu sejagat dan tiada negara mampu mengendalikannya bersendirian,” katanya bagi negara membangun, ia sangat membimbangkan kerana kos dan kapasiti yang diperlukan untuk mendepaninya akan menghakis sumber untuk mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.

Beliau berkata Malaysia komited untuk bekerjasama dengan negara yang  mempunyai visi untuk menangani isu perubahan iklim, serta menyifatkan idea “Asia Zero Emission Community” yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida adalah titik permulaan yang baik.

Ismail Sabri berkata bersandarkan kekuatan ekonomi dan pengaruh di peringkat global, rantau Asia berada di tempat yang terbaik untuk mengemudi perubahan, sekali gus membentuk status quo baharu berlandaskan kepada kesedaran sejagat dan keazaman yang jitu.

“Malaysia kekal komited untuk terus maju ke hadapan bersama-sama negara-negara jirannya di Asia, dalam mencari kaedah terbaik dalam menangani cabaran terkini secara lebih bermakna,” katanya.

— BERNAMA

Terkini

BN musuh utama PN bukan mengejutkan – Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengisytiharan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh...

Lagi Artikel Berkaitan