24.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 2, 2022

Trend guru bersara awal perlu intervensi kerajaan – Tok Mat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TREND bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru kini sangat membimbangkan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) 18 April lalu, lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, jumlah tersebut jauh melebihi angka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan pada 9 November 2021, bahawa sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

“Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka trend bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.

“KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad yang juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru ketika pandemik adalah sangat difahami.

Baca juga:   2 juta dos vaksin ditambah untuk keperluan penduduk Johor
yang
MOHAMAD HASAN – Gambar: Facebook

Menurut beliau, cabaran berkenaan sangat menguji ketahanan emosi dan psikologi mereka.

“Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya menganggu tugas hakiki.

“Intervensi kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting. Persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah kerugian yang sangat besar kepada negara,” katanya.

Sekiranya berlanjutan ujar beliau lagi, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal.

Baca juga:   Tiada ahli keluarga Azmin rentas daerah sambut raya

“Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita. Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti terjejas.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan,” tegasnya.

Menurut beliau, guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

“Justeru kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi. Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

-EDISI9

Terkini

“3A” pendekatan Pemuda BN tambat pengundi

PEMUDA Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan "3A" dalam menjamin serta memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi oleh calon...

Lagi Artikel Berkaitan