30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pasukan khas ditubuh atasi kesesakan di Tambak Johor

Langkah itu penyelesaian jangka pendek menjelang projek RTS Singapura-Johor Bahru Link siap pada 2026

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SATU pasukan petugas khas sudah ditubuh dan digerakkan bagi mencari penyelesaian kesesakan yang sering berlaku di Tambak Johor, terutamanya ketika hujung minggu, menjelang projek Rapid Transit System (RTS) Singapura-Johor Bahru link dijangka siap pada 2026.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhan pasukan petugas itu adalah bagi penyelesaian jangka pendek.

Beliau berkata semalam menerusi Facebooknya selepas melawat tapak projek RTS Woodlands North Terminus.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran.

Dianggarkan lebih 300,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari, menjadikannya laluan menyeberangi sempadan paling sibuk di rantau ini.

Beliau dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula 17 April dan ia adalah lawatan rasmi sulungnya ke negara itu sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac lalu.

Onn Hafiz yakin sistem pengangkutan moden yang bakal siap dalam tempoh empat tahun itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

“Saya turut yakin apabila projek RTS siap kelak, projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan Negeri Johor, khususnya di Johor Bahru,” katanya.

RTS Link, perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara perhentian Singapura di stesen Woodlands North dan perhentian Malaysia di stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.

Ia mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam untuk setiap laluan.

Penumpang bakal menikmati pengalaman perjalanan yang pantas dan lancar antara Singapura dan Johor Bahru dengan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen. – Bernama

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan