25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bubar Parlimen: Muhyiddin ingatkan PM runding dulu dengan PN

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa parti itu perlu dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Ingatan itu kerana menurut bekas Perdana Menteri, PN merupakan parti utama yang membentuk kerajaan Persekutuan pada hari ini.

“Kami membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

“Saya juga antara lain mengingatkan Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan kepada Ismail Sabri ketika pimpinan parti-parti anggota PN mengadakan majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya petang semalam.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee; dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, dalam pertemuan itu Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan akan berbincang dengan lima pemimpin tertinggi partinya berhubung pembubaran Parlimen.

Kelima-lima mereka adalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semasa perhimpunan tersebut, UMNO telah membuat keputusan agar Parlimen perlu dibubarkan segera bagi memberikan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu yang lebih stabil.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan