SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemui selamat selepas hilang di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing pada Rabu lalu.
Kurniaan itu diserahkan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandria Molina oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.
“Kedua-dua mangsa menjunjung kasih kepada Baginda Tuanku Sultan atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat akan keadaan mereka.
“Adrian dan Alexia ditemui di perairan sekitar Pengerang, Kota Tinggi oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu (9 April),” lapor Facebook Sultan Ibrahim hari ini.
Andrian bersama anaknya Nathan Renze Chester, 14 dan Alexia, 18, serta serta jurulatih selam, Kristine Grodem dilaporkan hilang selepas dibawa arus deras ketika mengadakan aktiviti menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggul pada Rabu.

Bagaimanapun, Kristine ditemui selamat pada Khamis manakala Nathan sehingga kini belum ditemui dipercayai sudah hanyut ke perairan Indonesia.
Semalam, Adrian mengesahkan anaknya itu sudah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Ekoran insiden tersebut, Sultan Ibrahim menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga hasil siasatan kes tersebut dan kajian semula seluruh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan aktiviti menyelam selesai.
-EDISI9