TUDUHAN yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO sengaja menghasut rakyat berhubung pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tidak benar.
Presiden UMNO itu berkata, pengeluaran kemudahan pengeluaran khas RM10,000 itu akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP juga adalah tidak benar.
“Apa yang pasti ramai akan mendapat manfaat di sebalik pengeluaran itu termasuk mereka yang mungkin gigih mentohmah UMNO dan saya sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pencarum akan mendapat manfaat selain tempias positif kepada peniaga hasil pertambahan aliran tunai dalam pasaran.
“Tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau juga bersyukur kerana pengeluaran khas wang simpanan KWSP untuk mereka yang telah diluluskan permohonan dipercepatkan daripada 20 kepada 18 April hari ini.
Katanya, saranan ini mungkin tidak populis, namun beringatlah desakan pengeluaran khas simpanan KWSP sedari awal bukan bertujuan memewahkan sambutan perayaan.
“Sebaliknya, untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik COVID-19.
“Terima kasih kepada yang memberi dan meluluskan pengeluaran khas wang simpanan KWSP milik saudara dan saudari ini.
“Selepas dibenarkan kini disegerakan maka terbuktilah KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat,” katanya.-Edisi 9