25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Ops bersepadu Aidilfitri mula 29 April – Ka Siong

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMETERIAN Pengangkutan bakal menggerakkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri secara serentak di semua peringkat, bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selaras itu, semua agensi, jabatan dan pihak swasta dan berkepentingan akan terbabit dalam aktiviti advokasi dan pendidikan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

Selain itu menurutnya, penguatkuasaan dilaksana menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ops Selamat Ke-18/2022 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Terdapat lima kesalahan lalu lintas utama sering dilakukan terutama sekali menjelang perayaan iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan.

“Kesemua kesalahan ini tidak dibenarkan untuk dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.

“Seramai 2,200 anggota penguat kuasa JPJ akan terbabit dalam Ops HRA tahun ini dan turut menjalankan Pra-Ops HRA bermula 25 hingga 28 April yang akan melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 75 depoh dan 28 terminal bas utama.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Bersepadu ini, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh JPJ adalah penguatkuasaan melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Putrajaya, hari ini.

Dr Wee berkata, JPJ juga melaksana rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan dan Ops Khas Motosikal serentak di seluruh negara yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan.

Menurutnya, seperti kawalan tahun sebelum ini, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan akan berkuat kuasa pada tiga hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri iaitu 30 April hingga 2 Mei serta 7 dan 8 Mei.

“Larangan ini bertujuan mengelak risiko berlaku nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik bersama kenderaan berat dan ringan lain.

“Kementerian turut mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri bagi tempoh sama (Jalan Persekutuan 80km/j, Jalan Negeri 70km/j).

“Pasukan peronda JKR juga akan ditubuhkan di setiap Daerah/Jajahan bagi membantu memantau sebarang kerosakan jalan dan kemalangan sepanjang tempoh Ops Bersepadu,” katanya.

Menerusi kempen ini kementerian berharap mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan daripada kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030, berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan