27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pelitup muka, imbas MySejahtera tak lagi wajib mulai 1 Mei

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMAKAIAN pelitup muka di luar bangunan dan imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.

Bagaimanapun beliau berkata, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada di dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing.

“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menyarankan orang ramai supaya terus mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.

Malah menurutnya, pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.

“Individu dengan status High Risk (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Justeru, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO.

“Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, tempoh kuarantin dikurangkan sekiranya individu terbabit tidak lagi positif COVID-19 sebelum tempoh tujuh hari seperti ditetapkan kerajaan sebelum ini.

“Sebelum ini individu yang dijangkiti COVID-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari.

Namun, menurutnya, jika kes berkenaan disahkan negatif pada hari keempat, ketika ujian RTK-Antigen dijalankan oleh pengamal perubatan, individu itu tidak lagi perlu meneruskan kuarantin tersebut.

“Sekiranya masih positif, individu berkenaan perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari.

Khairy berkata, ujian berkenaan perlulah menggunakan RTK-Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal atau maya.

“Keputusan ujian berkenaan hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam.

“Ini supaya individu berkenaan segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif COVID-19.

“Sekiranya individu itu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik selepas menjalani pengasingan selama tujuh hari,” katanya.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan