28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

GOpinjam saling tak tumpah seperti pinjaman along – Tok Mat

Bank Negara Malaysia (BNM) harus menyekat model pinjaman kredit ini demi melindungi golongan B40

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kewajaran program pinjaman peribadi terbaharu Touch ‘n Go (TNG) GOpinjam yang disasarkan kepada golongan B40 yang saling tidak tumpah seperti skim pinjaman berlesen along.

Beliau berkata, kumpulan Touch ‘n Go (TNG) telah memperluaskan jaringan perkhidmatannya dengan menawarkan program pinjaman peribadi terbaharu yang kononnya bersifat inklusif dipanggil GOpinjam.

“Namun kadar faedahnya adalah tidak munasabah dan terlalu tinggi iaitu antara 8 peratusbhingga 36 peratus.

“Sehingga kini tiada lagi penjelasan diberikan Menteri Kewangan ataupun pihak kerajaan tentang keperluan dan kewajaran program pinjaman peribadi ini dan maknanya terhadap perkembangan ekonomi negara.

“Kepatuhan kepada kawalselia Bank Negara bukan persoalannya di sini.

“Yang dipersoalkan ialah semua ini akan menjerat rakyat ke kancah keberhutangan yang parah dan berterusan.

“Kadar faedah program pinjaman peribadi GOpinjam adalah tertinggi dalam pasaran kredit dan ditawarkan dengan kadar keperolehan yang sangat mudah.

“Skim ini disasarkan kepada golongan B40 yang keadaan kewangannya sudah tertekan.

“Ia saling tidak tumpah seperti skim pinjaman berlesen “along” yang menjerat di leher peminjam dan mustahil untuk dilangsaikan bagi mereka yang sudah mengalami kesulitan kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya menyekat model pinjaman kredit sebegini demi melindungi golongan B40 dan anak muda yang berisiko tinggi untuk terjerumus ke dalam kancah hutang peribadi yang sememangnya sudah sangat tinggi dalam Malaysia.

Katanya, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk akhir tahun 2021 adalah pada kadar 89 peratus, antara yang tertinggi berbanding dengan ekonomi serantau.

“Ekonomi kewangan rumah tangga akan menjadi parah dengan timbunan hutang yang tinggi kadar faedahnya disamping pendapatan yang rendah.

“Akhirnya, ia akan memusnahkan kesejahteraan sesebuah keluarga,” katanya.

Berikutan itu, tegas Mohamad, Menteri Kewangan mesti tampil dengan solusi keusahawanan untuk memberdaya rakyat berpendapatan rendah.

“Melancarkan skim along model canggih seperti GOpinjam adalah bertentangan dengan amanah dan aspirasi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab,”katanya.

GOpinjam dilancarkan pada 1 April lalu yang menawarkan pinjaman mudah dan pantas serendah RM100 sehingga RM10,000 dengan tempoh pembayaran semula yang fleksibel pada kadar faedah sebanyak lapan peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TNG, Effendy Shahul Hamid, berkata syarikat menyasar untuk menyalurkan pinjaman sehingga RM300 juta tahun ini.

Pelancaran dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan