29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Parlimen : Tidak perlu kekok untuk berbahasa Melayu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah
satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, saya telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu untuk rujukan saya apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

“Sebagai langkah awal dalam memartabatkan bahasa Melayu, saya sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa Lawatan Rasmi saya
ke Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini. Terkini, semasa lawatan ke Vietnam pada 2 hari lepas, saya juga turut menggunakan bahasa Melayu.

“Oleh yang demikian, usaha ini akan diteruskan dalam manamana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya semasa sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab. Hamid yang bertanya kepada Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu.

Advertisements

Hal itu kerana, beliau mendapati akta tersebut tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

“Pindaan ini akan membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada daerah, negeri atau Persekutuan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju supaya pelajar asing diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila mendaftar di universiti di negara ini, secara tidak langsung, mereka akan ‘membawa balik’ bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing setelah tamat pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri, dan selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, selatan Thailand, selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Pada masa ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi dan perlu diterjemahkan.

“Saya yakin, suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN dan perkara ini mungkin boleh dibincangkan dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan