ORANG ramai diingatkan untuk tidak lalai dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara bakal memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula esok.
Itu pesanan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan ringkas beliau di Twitter hari ini.
Beliau berkata, dalam fasa itu, orang ramai masih perlu terus memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek – Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) untuk mencegah dan mengawal penularan Covid-19.
“Ia bagi memastikan mereka dan anak-anak dilindungi, pengambilan vaksin COVID-19 adalah digalakkan.
“Esok kita masuk fasa peralihan ke endemik. Gelombang Omicron terkawal. Angka Rt negara 0.88. Sistem kesihatan awam cukup kapasiti.
“But let’s not let our guard down (Tapi jangan biarkan kawalan kita lemah,” katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022.
Ismail Sabri berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.
“Malaysia adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua. Dengan pembukaan semula sempadan, rakyat malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya,”katanya.- Edisi 9