25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pusat Darah Negara seru orang ramai derma darah bulan Ramadan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PUSAT Darah Negara bimbang dengan bekalan stok darah pada Ramadan ini ketika umat Islam berpuasa.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pengarah 2, Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, ini kerana 60 peratus penderma darah di negara ini adalah dalam kalangan umat Islam.

Justeru, beliau berharap penderma darah berterusan melakukan aktiviti itu mengikut tempoh ditetapkan.

“Setiap individu boleh derma darah sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

“InsyaAllah kita mula berpuasa Ahad ini. Cabaran yang kami hadapi adalah sangat besar sebab 60 peratus penderma darah di negara ini adalah Muslim.

“Usaha meluangkan masa menderma darah sama ada pagi selepas empat jam bersahur atau pun selepas waktu berbuka,” katanya pada majlis perasmian Kempen Derma Darah sempena peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat polis Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Dr Nor Nazahah berkata, mengikut hukum Islam menderma darah adalah harus.

“Menderma darah semasa berpuasa juga tidak membatalkan puasa.

Advertisements

“Cuma kita galakkan pada masa yang sesuai dan bersedia mental serta fizikal untuk menderma darah,” katanya.

Katanya, selain cabaran besar memastikan stok darah cukup sepanjang bulan puasa, pihak Pusat Darah Negara juga bimbang perkara sama semasa cuti panjang menjelang perayaan.

“Ada cuti panjang iaitu Hari Pekerja dan perayaan Aidilfitri.

“Kami risau sebenarnya. Tempoh seminggu itu nanti kita mengharapkan masih ada yang sudi hadir di pusat menderma darah supaya tidak ada masalah dari segi stok darah.

“Perkhidmatan transfusi adalah satu daripada perkhidmatan penting. Tiada lagi bahan boleh menggantikan darah ataupun sintetik walaupun ada dalam kajian terdahulu,” katanya.

Dr Nor Nazahah berkata, ia bermakna darah sangat diperlukan untuk pesakit yang berada di hospital.

Mengikut data, katanya, dalam seminggu untuk Lembah Klang saja sebanyak 4,000 unit ataupun dalam sehari 500 hingga 600 beg darah perlu dikutip.

“Kutipan pada hari ini saja sudah pun menyumbang keperluan kira-kira 50 peratus harian Lembah Klang.

“Sehari di seluruh negara pula, kami perlu mengutip sebanyak 2,000 beg yang mengikut data menunjukkan yang harus diberi kepada 1,000 pesakit,” katanya.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan