28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Perayaan Aidilfitri: Operasi derma darah digiat tampung bekalan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

OPERASI pusat derma darah statik dan lokasi terpilih seluruh negara akan diteruskan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini bagi memenuhi keperluan bekalan negara.

Pakar Perubatan Transfusi Pusat Darah Negara (PDN), Dr Maryam Jameelah Aizuddin berkata, ketika ini pihaknya dengan kerjasama tabung darah seluruh negara giat mengumpul stok bekalan dengan melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 9 malam serta menganjurkan kempen bergerak ke masjid pada waktu malam.

Langkah itu katanya, mengambil kira trend kemerosotan pendermaan darah pada Ramadan selain perayaan utama serta cuti penggal persekolahan berikutan faktor orang ramai mengambil peluang bercuti atau pulang ke kampung.

“Statistik kutipan darah di PDN untuk dua minggu pertama Ramadan menunjukkan pengurangan hampir 30 peratus berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

“Pusat kutipan darah statik di Puspanita Putrajaya menunjukkan pengurangan kutipan darah paling ketara iaitu sebanyak 60 peratus.

“Ketika ini bekalan darah kumpulan A, B dan O di PDN berada pada paras rendah (kategori merah) selain jenis Rh negatif turut menunjukkan penurunan pada masa tertentu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sekiranya trend itu berterusan ia akan menjejaskan rawatan pesakit memerlukan terutama ketika dan selepas sambutan perayaan Aidilfitri.

“Kumpulan darah O perlu berada pada paras selamat iaitu 50 peratus daripada jumlah keseluruhan sasaran stok darah kerana ia jenis universal yang dapat digunakan untuk merawat pesakit dalam keadaan kecemasan, contohnya jika berlaku pendarahan yang banyak akibat kemalangan jalan raya, komplikasi pembedahan atau semasa bersalin.

Advertisements

“Kami di PDN menyasarkan kutipan darah utuh sebanyak 4,000 beg bagi memenuhi keperluan pembekalan ke lebih 60 fasiliti kesihatan di Lembah Klang.

“Kutipan plasma aferesis pula disasarkan sebanyak 120 unit setiap minggu bagi menampung keperluan penghasilan produk berasaskan plasma seperti IV immunoglobulin, albumin dan faktor pembekuan darah melalui proses fraksinasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kadar pendermaan darah antara 35 hingga 40 bagi setiap 1,000 populasi rakyat Malaysia berbanding 20 (1,000 populasi) pada tahun 2020.

“Apapun keadaan, masyarakat harus tahu, keperluan darah untuk rawatan pesakit adalah berterusan dan momentum pendermaan darah yang konsisten amat penting bagi memastikan bekalan darah pada tahap optimum.

“Ini bagi memastikan kita dapat memenuhi keperluan rawatan pesakit tidak kira secara elektif mahupun kecemasan di mana transfusi darah menjadi keperluan demi menyelamatkan nyawa.

“Jadi, kami menyeru belia seawal usia 17 tahun tampil menjadi penderma darah baharu dan kepada penderma darah sedia ada dapat mengamalkan pendermaan darah secara konsisten iaitu setiap tiga bulan sekali,” katanya.

Orang ramai boleh melayari www.pdn.gov.my serta Facebook PDN KKM atau hubungi talian 03-26132657/ 2658/ 2776/ 2777 atau email [email protected] bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai kempen derma darah, lokasi serta waktu operasi atau perbincangan.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan