24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

Mesti Baca

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung saman fitnahnya berkaitan artikel yang diterbitkan Januari lepas.

Peguam Joshua Tan, yang mewakili Ismail Sabri berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan injunksi itu berkuat kuasa sehingga 27 April kerana injunksi ex-parte (sebelah pihak) sebelum ini akan luput pada 11 Mac.

“Mahkamah telah membenarkan injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit (pemilik) untuk mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April,” kata peguam itu kepada media selepas prosiding secara maya hari ini.

Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan defendan untuk lanjutan masa bagi memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan injunksi plaintif.

Pada 18 Februari lalu, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Januari lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa, artikel itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

Advertisements

“Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar.

“Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

Menurut Ismail Sabri walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Februari lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif.

— BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan