32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pinda akta, beri kuasa kepada DBP – MBM

Penggunaan bahasa Melayu dalam majlis antarabangsa perlu juga disesuaikan mengikut tempat dan keadaan - Dr Junaini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini digesa memberi kuasa kepada pihak berkuasa bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi meningkatkan lagi penguatkuasaan bahasa Melayu dalam sektor awam.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, langkah itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan meminda Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995).

Pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling baharu kepada para diplomat serta delegasi yang mewakili Malaysia ke luar negara agar memberikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu ketika menyertai sebarang acara antarabangsa.

Menurut beliau pekeliling itu sebagai lanjutan daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2011 dan terbaru pekeliling pada tahun 2020.

“Sebagai sebuah negara berdaulat yang ditegakkan oleh pengalaman sejarah dan sosial sendiri kita harus berdiri dan maju dalam acuan sendiri.

“Sebagai manifestasi berkenaan, penggunaan Bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi di pentas antarabangsa amatlah tepat melambangkan negara yang berjati diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dalam sidang media ketika lawatan ke Bangkok, Thailand minggu lalu, Ismail Sabri berkata, beliau telah menggunakan bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

Jufitri berkata, MBM memberikan sokongan penuh terhadap iltizam yang dizahirkan kerajaan dan Perdana Menteri itu mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan di peringkat antarabangsa.

Advertisements

Sementara itu, Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaini Kasdan turut menyambut baik usaha kerajaan itu namun perlulah disesuaikan mengikut tempat dan keadaan.

Beliau berkata, apa sahaja majlis peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia atau di negara-negara ASEAN, adalah sewajarnya para delegasi menggunakana bahasa Melayu sepenuhnya.

“Namun, yang biasa terjadi, hanya disebabkan ada segelintir atau ada seorang dua penutur bukan Melayu, walaupun majlis tersebut di Malaysia, maka terus-terus bahasa Inggeris diutamakan. Hal ini tidak wajarlah.

“Kalau situasinya di luar negara yang bukan bahasa rasminya bahasa Melayu pula, dan dihadiri oleh orang yang tidak berbahasa Melayu, sangat digalakkan kalau menggunakan bahasa Melayu untuk majlis pembukaan atau majlis perasmian sebagai lambang jati diri,” katanya ketika dihubungi Edisi 9.

Sebagai contoh, Junaini berkata, pihaknya pernah menganjurkan Persidangan Pengajian Alam Melayu di London dan di Taiwan, yang tujuannya adalah untuk menggemakan bahasa Melayu di luar negara.

Dalam majlis itu, katanya, memang pihaknya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnyawalaupun ramai penutur asing yang hadir dan mereka memahaminya.

“Namun, jika majlis tersebut merupakan mesyuarat atau persidangan atau konvensyen yang bertujuan membuat sesuatu keputusan, dan yang hadir juga semuanya penutur bukan Melayu, saya berpendapat kurang sesuai untuk menggunakan bahasa Melayu.

“Tujuannya adalah supaya tidak berlaku salah faham. Bimbang nanti yang diperlukan lain, yang diputuskan lain dan yang dilaksanakan lain,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan