29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

GDRN dijenamakan semula, skop diperluas – Ismail Sabri

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

RANGKAIAN Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) yang diwujudkan sejak 2013 dijenamakan semula sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara manakala skopnya juga akan diperluaskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GDRN yang sebelum ini ditubuhkan bagi menyelaras pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana bakal mencakupi Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera, selain Jalinan Kemanusiaan sedia ada.

Menurut beliau, Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan.

Manakala Jalinan Sejahtera pula, kata Perdana Menteri, mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.

“Dengan skop baharu korporat ini, GDRN akan menerajui usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu,” kata beliau ketika berucap sempena Hari Terbuka GLC di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat ‘benih cengal’ dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Kata beliau, bagi tempoh jangka masa panjang, dapatlah rakyat menikmati manfaat benih tersebut yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang “Makmur, Inklusif dan Mampan” bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Mengimbau peranan GDRN sebelum ini, Perdana Menteri berkata, di antara tahun 2013 dan 2016, rangkaian tersebut telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor.

Kata beliau, dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020, GDRN juga telah berjaya membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan kerajaan melebihi RM55 juta.

“Kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menggesa agar Keluarga Malaysia merebut peluang yang ditawarkan oleh GLC dan GLIC antaranya peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sokongan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peluang kerjasama dengan GDRN oleh badan-badan bukan kerajaan bagi memenuhi CSR kepada rakyat

Beliau juga berharap agar platform tersebut menjadi pemudah cara bagi Keluarga Malaysia dan GLC untuk mendekati dan menyumbang kepada satu sama lain.

“Berdasarkan pencapaian masa lalu, sememangnya wajar untuk kita meletakkan harapan tinggi terhadap syarikatsyarikat GLC dan GLIC dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan